Raudhah sampai ke lapangan terbang seawal jam 7.30 pagi, berat kakinya untuk melangkah ke dalam, walaupun dia tahu seseorang sedang menunggunya.
“Intan, jangan bersedih, empat tahun bukanlah masa yang lama, lagipun perpisahan ini kerana ilmu. Walaupun Mesir dan Malaysia jauh beribu batu, namun ikatan persahabatan yang kita bina sejak kecil tidak akan sekali-kali terlerai. Deruan Sungai Nil semakin jelas kedengaran di telingaku, hembusan bayu Mediterranean terasa lembut menyapa tubuhku. Nil menunggu kehadiranku” Pelukannya erat sekali. Raudhah hanya menangis dibahu sahabatnya.
“Intan mengerti, namun kita tidak pernah berpisah untuk satu masa yang lama, bagaimana…” sendu Raudhah menganggu aliran suaranya.
“Benar, seseorang itu akan merasakan sesuatu yang belum pernah ia lalui sukar, tetapi apabila dia sedang melaluinya, kesukaran itu akan menjadi tabi’inya. Allah akan menjagamu disini dan Allah juga akan menjagaku di sana.” Pujuknya lembut.
“Semoga Allah juga menjaga ikatan persahabatan ini.” Kata Raudhah. Lama mereka berpelukan, akhirnya pelukan itu terpaksa dilepaskan, tangannya mengusap pipi sahabatnya dan sebentar kemudian Zahrah hilang daripada pandangannya. ....
“Assalamualaikum Muslimah, adakah Muslimah terserempak dengan Intan? Puas ana cari, namun kelibatnya tidak juga kelihatan.” Sapa Zahrah ketika terserempak dengan rakan sekelasnya, sebentar tadi dia menghadiri mensyuarat pengawas, usai perjumpaan tersebut dia kembali ke bilik darjah tetapi Intan tiada di mejanya.
“Waalaikumussalam, Oh! Tadi ana terlihat dia di dalam maktabah.” Ujar rakannya.
“Baiklah jika begitu, ana pergi dahulu, syukran.” Kata Zahrah sambil menyentuh lembut lengan rakannya dan tersenyum. Kelihatan Raudhah sedang kusyuk mencatit sesuatu di meja. Zahrah berjalan perlahan-lahan ke arahnya dengan niat untuk menyergah sahabatnya apabila dia berdiri di belakang
“Salam sahabat! Mengarang surat cintakah?” Tanya Zahrah dengan suara sedikit tinggi ke corong telinga Raudhah sambil memegang bahu sahabatnya. Raudhah yang sebentar tadi sedang khusuk menulis sesuatu, terkejut, lantas menutup tulisannya dengan kedua-dua tapak tangannya.
“Sofiya!” Raudhah menjerit kecil dan berpaling ke arah Zahrah “ Jangan serkap jarang sahaja, perlu husnuzon terhadap Intan”. Zahrah tersengih.
“Sofi bergurau sahaja, boleh Sofi tahu apa yang Intan tulis?” Pinta Zahrah sambil mengambil tempat duduk di sebelah sahabatnya. Raudhah segera menyelitkan tulisan yang dicatit di belakang sekeping photo ke dalam diarinya.
“Tiada apa-apa, hanya menulis nota sahaja” Zahrah cuba bergurau ingin merampas diarinya tetapi gagal. “Esok, keputusan STAM akan diumumkan, semoga Allah membalas segala usaha kita dengan kebaikan.” Beritahu Zahrah sambil jari jemarinya bermain-main dengan hujung kain pengalas meja.
“Insyaallah, Allah akan membalas setimpal dengan usaha yang kita lakukan dan meredhai keikhlasan kita menuntut ilmu.” Raudhah mengiakan.
Sudah hampir dua tahun Zahrah berada di Mesir, dan dia juga sedang berada di tahun ke-dua di universiti Islam Malaysia. Mereka selalu berhubungan melalui email, bertanya perihal pengajian masing-masing dan bertukar-tukar pandangan semoga fikiran akan lebih tajam hasil dari pertembungan dua kognitif, two heads are better than one.
Telefon bimbit Raudhah bergetar, satu mesej baru masuk.
“Salam anti, bagaimana pengajianmu, berjauhan denganmu semakin menggamit rindu di kalbu, alangkah indah jika kita dapat belajar di institusi pengajian yang sama, namun ana percaya, Allah ingin menguji keteguhan cinta kita.” Berbunga hatinya tatkala membaca setiap lafaz kata dari paparan mesej itu, betapa kata-kata yang lahir dari hati mampu menyentuh hati manusia yang lain.
Yusuf! Lelaki pertama yang mengoncang hatinya, menawarkan sebuah cinta yang indah, seindah bunga kemboja putih yang mekar di pagi hari. Satu metafora terhadap kesucian cinta mereka. Lelaki yang menawarkan sebuah bahtera cinta yang belayar di samudera, walau badai ganas yang datang, bahtera cinta mereka tetap utuh belayar. Hubungan cinta yang berlangsung tanpa sebarang janji pertemuan, hanya berbicara melalui telefon dan mesej tetap mampu mempertahankan ikatan cinta mereka. Salahlah manusia yang menganggap bahawa percintaan perlu disusuli dengan pertemuan muka ke muka.
“Jangan khuatir, jika kita mengikut lunas Islam, tidak melewati batas- batas agama, Insya Allah, Dia akan menolong kita. Teguhkan hati kita agar hubungan seperti ini akan berkekalan, jangan pernah terlintas unutk bertemu sebelum bernikah, kerana anta sendiri tahu yang ke-tiga adalah syaitan.” Balas Raudhah. ….
“Kakak, kenapa hati saya rasa tidak tenteram? Kenapa saya sukar untuk menangis saat mendengar qalam Allah? Kenapa sukar untuk saya menghafal al-Quran? Kenapa seakan terhijab untuk saya tafakkur alam? Kenapa saya rasa tidak juga tenang jika membaca al-Quran? Kenapa solat saya tidak khusyuk? Kenapa saya gagal untuk qiamullail? Kenapa saya sukar untuk puasa sunat? Kenapa rezeki saya tidak berkat? Kenapa hati saya selalu menangis? Kenapa ilmu yang saya pelajari hanya bertahan sehingga ke dalam dewan peperiksaan? Kenapa saya tidak terkesan dengan perjalan dakwah yang dilakukan oleh Raulullah dan para sahabat? dan kenapa saya masih gagal untuk merasai nikmat CINTA ALLAH seperti yang diceritakan oleh orang-orang alim?” Tanya Raudhah panjang kepada murobbiyahnya, Kakak Aisyah.
“Raudhah, sesungguhnya Rasulullah pernah bersabda “Dalam diri manusia ada seketul daging, jika daging itu elok maka eloklah anggota yang lain, tetapi jika daging itu rosak, maka rosaklah segala angota yang lain. Sesungguhnya seketul daging itu adalah?” Murobbiyahnya memohon jawapan darinya.
“HATI!” Jawab Raudhah.
“Benar, seketul daging itu adalah hati, secara fizikal hati itu adalah jantung. jika jantung kita rosak, ia akan mengganggu perjalanan anggota badan yang lain kerana jantung bertangjawab mengepam dan menyalurkan darah dan juga oksigen ke setiap urat saraf anggota badan. Namun apa yang perlu diperhatikan adalah secara rohaninya, hati itu adalah jiwa manusia, hati yang rosak adalah hati yang di timpa penyakit- penyakit dunia, hati yang berpenyakit ini akan merebak kesetiap anggota jasad manusia sehingga anggota-anggota tersebut terdorong untuk melakukan perkara-perkara buruk yang menambahkan lagi musabab kepada penyakit hati.” Jelas murobbiyahnya panjang.
“ADAKAH HATINYA BERPENYAKIT?” Raudhah bermonolog.
“Antara musabab penyakit hati ialah KECINTAAN TERHADAP MANUSIA MELEBIHI CINTA TERHADAP ALLAH! Adakah pantas satu hati mampu menyatukan dua cinta? CINTA ALLAH dan CINTA DUNIA? Adakah berhasil esensi yang suci bercampur dengan unsur yang kotor? CINTA ALLAH dan CINTA DUNIA ini ibarat magnet negatif dan negatif atau positif dan positif. Apabila ia di dekatkan, kedua-duanya akan saling menolak dan mustahil untuk bersatu. Begitulah analogi antara dua cinta tersebut. SELAMA-LAMANYA MANUSIA TIDAK AKAN MENEMUI CINTA ALLAH SELAGI DIA MENGHAMBAKANKAN CINTANYA KEPADA MANUSIA!” Jelas Kakak Aisyah.
Hatinya terkejut. Benarkah dia telah tersilap percaturan selama ini? Adakah dia terjerat dalam dosanya sendiri hasil daripada mengikut hawa nafsunya? Adakah dia tergolong dalam golongan mereka yg membuat tipu muslihat kepada Allah? Adakah dia tergolong dalam golongan yang disebut oleh Allah sebagai hati yang berpenyakit? Adakah hatinya berpenyakit?Lantas, apakah penawarnya? ….
“Yusuf! Sesungguhnya kita tertipu oleh muslihat kita sendiri. Sesungguhnya tidak halal bagi wanita Muslimah dan lelaki Muslim menjalin cinta sebelum kahwin. Ketahuilah! Aku tidak ingin menjadi penggoda seperti Zulaikha, aku tidak ingin menambahkan fitnah dunia lagi, aku tidak ingin hatta jiwaku menjadi boneka syaitan. Sesungguhnya perlu aku akui tanpa aku perlu berselindung demi menjaga hatimu bahawa aku tidak pernah tenang mencintaimu dahulu.
Cukuplah! Janganlah kita menghalalkan perkara yang telah diharamkan oleh Allah dan Nabi, kufurlah kita akhirnya. Bertaubatlah kita! Sehingga saat ini hatiku sedih tatkala mendengar, membaca kisah-kisah mereka yang berhasil merasai nikmat cinta Ilahi sedangkan aku masih lagi terumbang ambing, terkeliru dalam pencarian cinta agung itu. Sesungguhnya Allah itu mendengar resah hati kehambaanku, disaat aku mula mengorak langkah mendekatiNya, Dia telah lama menungguku, disaatku menangis sendu kerana keinsafan dosa lalu, Dia terlebih dahulu menadah air mataku.
Betapa berdosanya aku membuang cinta-Nya yang berada di muka pintu hatiku, betapa berdosanya diriku, bertalu-talu Allah mengetuk pintu hatiku melalui wahyu agung-Nya, dengan bicara ikhlas-Nya, tidak aku buka pintu itu! berdosanya aku membiarkan Dia berdiri lama di muka pintu itu, namun Dia tetap meninggu, membujuk hatiku dengan bicara-Nya tanpa jemu, namun tidak juga aku buka pintu dan membiarkan panggilan-Nya tanpa sahutan.
Berdosanya Aku Rabbi! Sehingga suatu saat, aku terdetik ingin membuka pintu itu kerana tidak lagi kedengaran panggilan-Nya, jauh dari sudut hati, aku rindu mendengar bicara-Nya yang agung, mendengar ketukan di pintu hatiku, ketukan yang lembut, tidak menyakitkan hati. Adakah Dia telah berputus asa dengan Hati kerasku? Aku menuju ke muka pintu, perlahan-lahan ku kuak daunnya, apa yang ku lihat hanyalah satu cahaya yang tidak terungkap oleh kata, terlukis oleh pena.
Cahaya itu menerangi segenap penjuru hatiku yang gelap untuk sekian lama. Cahaya malap yang berada dalam hatiku menjadi semakin bersinar dengan limpahan cahaya itu. ketahuilah aku, Dia tidak merajuk, Dia tidak juga murka, tetapi Dia Maha Penyayang, Maha Penyabar, dan Dia masih menungguku.
Bertaubatlah kita kerana telah berlaku zalim terhadap Cinta Allah. Ketahuilah! Aku tinggalkanmu demi cintaku pada sang Rabbi."...INTAN RAUDHAH
Yusuf membaca warkah dari kekasihnya dengan hati yang berkecai. Hati lelakinya tercabar kerana cintanya ditolak mentah-mentah oleh Raudhah secara tiba-tiba tanpa sebarang perbincangan mahupun penjelasan khilaf perhubungan mereka. Adakah begini pengakhiran cinta mereka? Adakah tiada lagi cinta Raudhah untuknya? Adakah Raudhah tidak mencintainya lagi sebagaimana dia mencintainya tanpa bebelah-bagi? Bagaimana mungkin dia melupai cinta pertamanya? Dia telah bertekad untuk menyuntingnya sebagai suri hatinya saat dia mendapat tahu cintanya berbalas dahulu.
“Jika itu keputusanmu, jika tiada lagi secarik cinta untuk menampal luka di hatiku, maka sia-sia sahaja aku menagih cinta darimu. Namun seperti yang selalu aku ucapkan, jiwaku bukan jiwa berputus asa, aku akan kembali menuntut cintamu suatu hari nanti selagi kamu belum dimiliki.” Yusuf membalas email Raudhah dengan hati yang terluka. Berkali-kali dia membaca tulisan Raudhah, mencari kebenaran dari kata-katanya agar dapat memujuk jiwa yang lara. Kata-katanya benar.
“siapapun jodoh kita, telah terdahulu ditakdirkan oleh ALLAH, jodoh itu sebahagian dari keimanan kita sebagai pengikut risalah Muhammad S.A.W. Beriman dengan rukun iman yang ke-enam; qada’ dan qadar baik mahupun buruk, wajib diakui. Redhalah dengan Allah, semoga Allah juga meredhaimu.” Jelas Ustaz Makmur kepadanya suatu hari saat dia menceritakan masalah hatinya usai kelas pengajian.
“peliharalah hatimu dari cinta duniawi dengan harapan kehadiran cinta Ilahi. Dengan mencintai ALLAH, jiwamu yang terluka itu akan sembuh, hatimu yang gundah akan tenang, hati yang gelap akan benderang. Cintailah Allah kembali kerana itu fitrah setiap insani.” Akhiri ustaz Makmur sebelum masuk ke dalam keretanya.
Malam itu, diatas sejadah cinta, dengan linangan air mata, Yusuf sujud kepada Yang Esa. Lama sujudnya terasa berat dosanya, malu kepalanya untuk mendongak, terasa hina memperlakukan Dia yang menciptakannya daripada mani yang tidak berguna. Terasa sukar terhapus dosanya kerana kesombongan dalam kejahilannya memperbodohkan Tuhan, kesombongan yang tidak akan memanfaatkan mahupun memudharatkanNya. Namun dia tahu Allah akan menghapuskan dosa-dosanya kerana Sifat Maha Rahman dan PengampunNya melebihi sifat-sifat keras-Nya. Selayaknya dia memenjarakan dirnya seperti Nabi Yusuf, memenjarakan nafsunya!
Raudhah membaca balasan email dari Yusuf, kamu silap Yusuf, aku masih menyayangimu. Semoga Allah memelihara cinta kita, semoga jihad kita menjaga perasaan cinta pemberian Allah itu diredhainya. Sejak itu, kedua-duanya hanyut dalam cinta Rabb mereka. ….
Raudhah melangkah ke dalam maktabah sekolah lamanya. Pagi itu diadakan sambutan hari guru dan dia datang untuk sama-sama memeriahkan majlis berkebetulan dia sedang menghabiskan cuti semester akhirnyanya di kampung. Raudhah mengambil mengambil tempat duduk yang bertentangan dengan tingkap maktabah.
Sudah banyak berlaku pengubahsuaian terhadap struktur dalaman maktabah ini. Kenangan bersama sahabat-sahabat sewaktu di bangku sekolah menggamit memorinya. Terkadang dia tersenyum sendiri. Maktabah ini juga menyimpan banyak kenangannya bersama Sofiya.
Rindu pula hatinya terhadap temannya yang sudah empat tahun berada di bumi Nil itu. Dia mengeluarkan diarinya yang masih disimpan, jika dulu dia sukar meluahkan perasaanya dalam diari tetapi kesibukannya sebagai pelajar universiti menyebabkan dia tidak mempunyai masa untuk menulis diari.
Program pentarbiahan dan da’wah yang diikutinya semenjak dua tahun yang lalu telah banyak mengubah dirinya, mengenal kembali makna kehidupannya di bumi ini. Dia menintakan sesuatu dalam diarinya.
“salam sahabat! mengarang surat cinta lagikah?” Seseorang menegurnya dari belakang sambil memegang bahunya. Dia terkejut sambil berpaling ke belakang.
“Sofiya! Jangan ….” Lidahnya kelu. Lama dia memerhatikan susuk gadis di hadapannya yang berpurdah.
“Bagaimana Intan tahu Sofi di belakang?” Tanya Zahrah dengan tersenyum disebalik purdah hitamnya. Raudhah tergamam, adakah dia bermimpi di siang hari? Dahinya berkerut seribu.
“Jangan berkerut lagi dahi itu, Sofi rindu untuk berdakapan dengan Intan” Tangannya masih kemas memegang bahu sahabatnya. Raudhah bangkit dari duduknya, mengadap gadis berpurdah di hadapannya, akhirnya kekeliruan terlerai, senyuman terukir diwajah mereka.
“Sofiya!” Akhirnya mereka berpelukan lama, erat sekali seperti selalu, air mata mengalir kegembiran. “Bukankah penerbangan Sofiya bulan depan?” Tanya Raudhah sambil mempersilakan Zahrah duduk.
“Benar, tetapi diawalkan kerana ada urusan di sini, lagipun pengajian Sofi sudah selesai dua minggu lepas, ikutkan hati mahu menziarahi Mesir lebih lama, tetapi ummi dan baba Sofi mengajak pulang” Jelas Zahrah, tangannya mengelus lembut jari jemari Raudhah.
“Barangkali mereka rindu untuk bertemu dengan Sofiya” Sangka Raudhah.
“Bagaiman pengajian Intan di sini?” Tanya Zahrah.
“Alhamdulillah, pengajian Intan sudah selesai, sekarang sedang tunggu panggilan kerja, mungkin dua minggu lagi akan diketahui keputusannnya.” Beritahu Raudhah. Zahrah mengangguk-angguk.
“Intan, mahukah Intan dengar satu perkhabaran?” Tanya Zahrah.
“Perkhabaran apa?” Tanya Raudhah lagi.
“Sebenarnya, kepulangan Sofi lebih awal ini adalah untuk membincangkan urusan perkahwinan.” Jelasnya tersenyum.
“Sofiya akan kahwin? Dengan siapa? Bila?” Raudhah teruja.
“Insyaallah, dua bulan lagi.” Balasnya pendek.
“Dengan siapa? Khabarkan lagi.” Pinta Raudhah.
“Perkahwinan ini atas pilihan ummi dan baba Sofi. Baba hendak satukan Sofi dengan anak teman baiknya. Sofi percayakan baba, Sofi yakin dia telah memilih lelaki yang baik sebagai suami Sofi, jadi dengan keyakinan itu Sofi terima lamaran dari pihak lelaki.” Jelasnya.
“Sofi belum kenal lagi dengan lelaki itu, namanya juga tidak diketahui.” Sambung Zahrah.“
Eh! Macammana Sofiya boleh terima lamaran lelaki tersebut sedangkan Sofiya tidak tahu menahu pun asal usulnya?” Raudhah keliru dengan sikap sahabatnya.
“Intan, cukuplah baba yang mengetahui asal usulnya, nanti apabila kami telah sah menjadi suami isteri, Insyaallah semua itu akan dapat diketahui.” Zahrah cuba menenangkan sahabatnya.
“Punya fotonya?” Raudhah bertanya lagi.
“Kalau namanya tidak diketahui, apatah lagi foto untuk dimiliki” Mereka tersenyum.
“Raudhah tidak risau, masakan orang yang baik, menjaga persahabatan seperti Sofiya akan dijodohkan dengan lelaki yang fasik.” Raudhah memuji sahabatnya.
“Astaghfirullah, Sofi tidak layak untuk pujian setinggi itu, Subhannallah.” Zahrah tersipu-sipu. ….
“Salam sahabat, Subhanallah, adakah ini manusia atau bidadari dari syurga?” Gurau Raudhah saat memasuki bilik pengantin.
Zahrah kelihatan anggun sekali dengan persalinan jubah putihnya. Wajahnya disolekan dengan cantik sekali, tidak terlalu berat, tidak jua terlalu ringkas. Suasana di luar sana riuh rendah dengan suara-suara manusia, semua orang bahagia dengan pernikahan ini. Dia juga mengenakan baju kurung putih, sedondong dengan pengantin.
“Ah! Intan ini manis mulut benar.” Zahrah menafikan, mereka berpelukan.
“Nampaknya, Intan kenalah kurangkan masa bersama dengan Sofi, nanti cemburu pula suami” Gurau Raudhah lagi, hatinya gembira mengetahui sahabatnya akan berkahwin.
“Intan, walaupun Sofi sudah kahwin, kualiti persahabatan kita tidak akan berkurangan, ingat hal itu.” Zahrah memegang tangan sahabatnya erat. Raudhah mengangguk-angguk, air mata mereka menitis.
“Jangan menangis, rosak nanti solekan itu.” Raudhah menyeka air mata Zahrah.
“Sofi.” Baba Zahrah muncul dari pintu bilik. Raudhah meminta diri untuk keluar, barangkali ada sesuatu yang ingin dibicarakn oleh baba Zahrah, bicara seorang ayah dengan anak perempuannya.
“Jadi isteri yang solehah, baba telah memilih seorang lelaki yang terbaik untuk Sofi, baba yaqin anak kawan baik baba itu akan dapat membahagiakan Sofi dan menjadi suami dan ayah yang bertanggungjawab terhadap ana-anak Sofi nanti.” Kata babanya sambil memeluk anaknya erat.
Sementara itu, Raudhah keluar melayani tetamu yang datang, sebentar lagi rombongan lelaki akan sampai.
“Baba, Rombongan lelaki sudah sampai!” Jerit adik lelaki Zahrah dari tangga rumah.
Tetamu yang hadir bangkit menuju ke luar rumah ingin melihat pengantin lelaki. Raudhah juga tidak sabar melihat bakal suami sahabatnya. Dia menyelit ke dalam kelompok tetamu yang menjenguh ke tingkap rumah.
“Yusuf!” Hatinya terkejut.
“Yusufkah namanya?” Tanya tetamu disekelilingnya namun dia tidak dapat menjawab.
Yusuf! Sofiya! Bagaimana dapat diungkapkan perasaannya saat ini. Antara janji yang dipegangnya sejak bertahun lalu, antara kasihnya yang tidak berbelah-bagi terhadap Sofiya. Antara cintanya terhadap Yusuf, antara sayangnya terhadap Sofiya. Raudhah menahan air matanya, dia segera keluar dari kelompok tetamu tersebut, dia tidak ingin Yusuf melihatnya. Yusuf telah memungkiri janjinya. Air matanya menitis.
Dari dalam bilik, telefon Raudhah berbunyi, Zahrah yang berada berdekatan mencapai telefon bimbit sahabatnya yang terletak di dalam tas tangan Raudhah.
“Assalamualaikum.” Tetapi talian dimatikan. Zahrah terkejut. Dia meletakan kembali telefon bimbit sahabatnya, hatinya terdetik untuk mengambi buku kecil yang terselit di dalam tas tangan sahabatnya. Dia membelek-belek helaian diari Raudhah.
“Sofi! Nampak Intan?” Tanya umminya dari muka pintu. Zahrah terkejut dan meletakan kembali diari Raudhah ketempatnya.
“Ya Ummi Nab, ada apa cari Intan?” Raudhah menegur ummi Zaharah dari belakang, matanya merah akibat menangis.
“Disini kamu, temankan Sofi, Ummi Nab nak ke depan, layan bakal mertua si Sofiya ini” jelas riak kegembiraan di wajah ummi Zahrah. Raudhah mengangguk-angguk.
“Intan, tadi Sofi terbaca diari Intan” Zahrah memegang tangan Raudhah, hatinya rasa bersalah.
“Sofiya! Intan..” Raudhah terkejut, adakah Zahrah terjumpa foto Yusuf?
“Intan, Sofi minta maaf, Sofi bukan sahabat yang baik, Intan banyak meluahkan isi hati Intan di dalam diari sedangkan Sofi ini sahabat Intan, maafkan Sofi, disebabkan kesibukan Sofi menuntut Ilmu di Mesir, Sofi terlupa tentang sahabat Sofi disini.” Mata Zahrah bergenang air mata.
“Sofi…” Raudhah lega Zahrah tidak mengetahuinya.
Perlukah dia luahkan kepada Sofiya perasaannya saat ini? Antara kecewa dan bahagia, antara cinta adam dan hawa, antara cinta seorang sahabat. Jahatkah jika dia menjelaskan hal yang sebenar? Kejamkah dia terhadap Sofiya jika dikhabarkan bahawa bakal suaminya adalah lelaki yang dia puja bertahun lamanya. Lelaki yang pernah berjanji akan menuntut cintanya kembali. Raudhah menahan air matanya dari menangis.
“Jangan menangis Sofi, usah difikirkah tentang persahabatan kita hari ini. Hari ini adalah hari bahagia Sofi, jangan titiskan air mata terhadap perkara remeh sebegini. Sofi tidak bersalah.” Raudhah mencuba berlagak seperti tiada yang terjadi. ….
Yusuf segera memutuskan talian, hatinya tidak sanggup untuk mengkhabarkan kepada Raudhah tentang perkahwinannya.
“Sop! Depan Tok Kadipun sempat lagi telefon seseorang.” Tegur kawannya di sebelah.
Yusuf memerhatikan tok kadi yang duduk di hadapannya sedang berbincang sesuatu dengan bapa pengantin perempuan. Dia juga tidak mengenali siapa bakal isterinya. Hanya namanya sahaja meniti dibibir. Dia masih berharap akan terjadi keajaiban sebentar lagi. Keajaiban yang akan menyatukan dirinya dengan Raudhah.
Maafkan Yusuf, Yusuf tidak mampu menolak permintaan seorang ayah. Yusuf perlu akur dengan permintaan ayahnya yang menginginkan dia dijodohkan dengan anak perempuan sahabatnya. Katanya sejak kecil lagi mereka sudah berkira-kira untuk menjodohkan kami.
Maafkan Yusuf Raudhah, bukan niat Yusuf memungkiri janji, maafkan Yusuf hingga saat ini Raudhah belum mengetahui sebentar lagi Yusuf akan menjadi suami orang. Hatinya dirudum kekecewaan. Kecewa tidak berjodoh dengan Raudhah, kecewa telah memungkiri janjinya.
Tangannya sedikit menggigil saat Tok Kadi menjabat tangannya dengan erat.
“AKU TERIMA NIKAHNYA SOFIYA ZAHRAH BINTI ABDUL MUNSYI DENGAN MAS KAHWIN 88 RINGGIT TUNAI!” Antara lega dan sedih itulah yang dirasakan Yusuf saat itu. “Sah?” Tanya Tok Kadi kepada saksi “Sah!” ….
Dari kamar pengantin, Zahrah menitiskan air mata kegembiraan. Sekarang dia sah menjadi isteri kepada Muhammad Yusuf bin Syukor, nama yang tertulis di atas sijil perkahwinan. Raudhah disebelahnya memeluk Zahrah dengan erat, dia menangis teresak-esak. Hatinya gembira Zahrah telah diijab-kabulkan dan hatinya juga terluka, Yusuf bukan lagi jodohnya.
“Intan jangan nangis begitu, kita tetap sahabat seperti dulu.” Pujuk Zahrah. Raudhah mengesat air matanya. Kedengaran derap kaki yang banyak dari luar menuju ke kamar pengantin, Hati Raudhah semakin berdebar-debar. Bersediakah dia melihat Yusuf menyarungkan cincin perkahwinan mereka ke jari manis Zahrah? Bersediakah dia melihat dahi Zahrah dikucup oleh Yusuf. Hatinya berbelah-bagi saat itu. Sementara itu, hati Zahrah berdebar-debar menanti siapakah suaminya itu, bagaimanakah parasnya. Kebahagiaan jelas terlukis diwajahnya.
Yusuf melangkah masuk ke kamar pengantin, matanya masih tunduk ke bawah. Dia cuba mengumpul kekuatan untuk menatap wajah isterinya. Dia mengharapkan isteri dihadapannya adalah Raudhah namun takdir telah mengatakan segalanya. Impiannya untuk bersama Raudhah ditinggalkan saat dia sah menjadi suami kepada Sofiya Zahrah.
Maafkan Yusuf. Yusuf mendongakan kepalanya ke hadapan. Hatinya terkejut! Longlai kakinya melihat kekasih yang dipujanya sekian lama menjadi pengapit pengantin perempuan dalam majlis perkahwinannya sendiri! Mata mereka bertentangan, jelas kelihatan mata Raudhah bergenangan air mata.
Raudhah! Maafkan Yusuf! Hanya itu yang terungkap oleh hati lelakinya.
“Sarungkan cincin ke jari Sofiya!” Arah ibu Yusuf perlahan sambil menghulurkan sebentuk cincin bertatah permata putih. Hatinya teragak-agak untuk menyambut huluran cincin dari ibunya.
MAAFKAN YUSUF! Hatinya menjerit.
Raudhah menundukkan pandangannya, ditahan air matanya dari menangis walaupun dia sudah tidak mampu untuk berlagak seperti tiada yang berlaku. Dia tidak dapat menipu dirinya bahawa suami sahabatnya kini adalah Yusuf! Raudhah mengangkat tangan Zahrah yang masih tidak berganjak dari atas pahanya saat pengantin lelaki ingin menyarung cincin ke jarinya.
Zahrah! selayaknya dirimu menerima Yusuf. Hati Yusuf bertambah rasa bersalah melihat Raudhah mengangkat tangan sahabatnya untuk disarungkan cincin perkahwinan. Sebetulnya jarimu yang layak menyarung cincin perkahwinan darinya. Saat dia mengucup lembut dahi Sofiya Zahrah, Raudhah bangkit dari duduknya dan menuju ke luar kamar.
Maaf sahabat, aku tidak mampu menyaksikan takdir seperti ini. Raudhah menangis tersedu-sedan di belakang rumah sahabatnya.
Yusuf! Cintailah Sofiya, sesungguhnya aku lebih redha kehilangan cintamu daripada aku kehilangan cinta seorang sahabat seperti Sofiya. ….
Zahrah terus mendail nombor telefon Raudhah, sejak akhir-akhir ini semakin sukar untuk menghubungi Raudhah. Hatinya rindu untuk bertemu dengan sahabat karibnya, banyak perkara yang ingin diceritakan kepada Raudhah. Kali terakhir dia bertemu dengan Raudhah lima bulan selepas perkahwinannya. Adakah Raudhah merasa tidak selesa dengan statusnya sebagai isteri orang. Intan, sesungguhnya abang Yusuf tidak pernah menghalang kita untuk tetap bertemu seperti dahulu. Zahrah merasakan bahunya disentuh lembut. Dia berpaling.
“Sofi buat apa di laman rumah malam-malam ini? Mari masuk, nanti demam siapa susah? Bayi dalam perut itu juga.” Zahrah tersenyum dengan gurauan suaminya, air matanya menitis.
“Kenapa menangis ini?” Yusuf terkejut, jarinya menyeka air mata isterinya.
“Sofi rindu Intan, sudah banyak kali Sofi telefon tapi tidak dijawab. Sofi tidak tahu kenapa Intan seakan-akan menjauhkan diri dari Sofi, kalau Sofi ada melakukan silap, beritahu Sofi, Sofi akan berubah. Sofi tidak mahu persahabatan kami sejak di bangku sekolah putus begitu sahaja.” Kata Zahrah sambil matanya memandang suaminya. Yusuf merenung mata isterinya yang berkaca itu. Dia tahu Raudhah tidak selesa untuk bertemu dengan Sofiya mahupun dirinya. Maafkan Yusuf Sofi, kerana Yusuf persahabatan Sofi dengan Raudhah retak.
“Mungkin dia sibuk dengan kerjanya.” Pujuk Yusuf.
“Mari kita masuk ke dalam, tidak elok berlama diluar ini.” Yusuf memipin tangan isterinya ke dalam. Usia kandungannya kini mencecah lapan bulan. Isterinya mengalami alahan yang teruk dan banyak menghabiskan masa di rumah. Dia pula semakin sibuk dengan kerjanya sebagai jurutera di syarikat swasta di ibu kota. Nasib baik jarak antara rumahnya dengan tempat kerja hanya 20 km.
“Sofi! Kenapa?” Tanya Yusuf melihat isterinya terhuyung- hayang berjalan. Zahrah tersenyum, tangannya memicit-micit kepalanya. “Tidak apa apa, biasalah mengandung ini, pembawakan budak.” Jelas Zahrah.
“Abang cintakan Sofi?” Tanya Zahrah tiba-tiba. Yusuf terkejut. Bagaimanakah perasaannya terhadap isterinya setelah hampir setahun mereka bernikah? Adakah cintanya terhadap Raudhah telah lenyap?
“Cinta!” Jawabnya ringkas.
“Apa buktinya?” Zahrah menduga suaminya.
“Eh! Habis yang dalam perut itu bukan bukti lagi?” Mereka tersenyum. ….
Sudah seminggu Raudhah terlantar di hospital tidak sedarkan diri akibat kemalangan di jalan raya. Doktor mengesahkan Rudhah mengalami kecederaan dalaman dan jantungnya mengalami komplikasi untuk berfungsi, andai dalam masa terdekat ini tidak ada penderma, mungkin nyawanya tidak dapat diselamatkan.
Luluh air marmata Zahrah ketika mendengar penjelasan daripada doktor Farid. Zahrah menggenggam tangan Raudhah. Bukalah matamu, tataplah wajahku, berbicaralah denganku, sesungguhnya aku rindu mendengar suaramu, sudah sekian lama kita tidak berbicara dan saatku ketemu denganmu kembali, kamu masih diam tanpa bicara. Aku khuatir jika diammu semakin lama, bukalah matamu! Zahrah menangis tersedu sedan di katil Raudhah. Yang kedengaran hanyalah deru nafas Raudhah melalui alat bantuan pernafasan.
Allah! Biarku ganti tempatnya. Zahrah terdetik untuk membaca diari yang diberikan oleh jururawat yang diberikan oleh polis yang mejumpainya di tempat kejadian. Dia membelek-belek diari yang pernah dibeleknya pada hari perkahwinannya, satu foto terjatuh dari celahah diari itu. Zahrah mengambil foto yang terbalik gambarnya, terdapat tulisan ringkas dibelakangnya.
Yusuf! Cinta hatiku. 16/2/ 2001 Zahrah menterbalikan gambar tersebut.
“Abang Yusuf!” Segera wajahnya berpaling kearah Raudhah yang terlantar dikatil. Apa semua ini? Hatinya bingung. Apakah hubungan abang Yusuf dengan Intan? Zahrah membelek-belek helaian diari Raudhah.
17/ 3/ 2003 Yusuf! Intan akan pegang janji Yusuf! Intan akan menunggu Yusuf menuntut cinta Intan kembali. Perpisahan ini hanyalah atas dasar perhubungan namun cinta Intan masih seperti dulu.
25/ 6/ 2007 Sofiya! Bagaimana mungkin aku ungkapkan perasaanku saat aku mengetahui bakal suamimu adalah lelaki yang ku nanti bertahun lama janjinya untuk dipenuhi? Aku menantinya tanpa prasangka, aku meyakini bahawa dia akan kembali mencariku. Namun,… Sofiya! Tidak mungkin aku mengecewakan hari bahagiamu. Yusuf! Apakah alasan diatas pengkhianatan janjimu sendiri?
Zahrah terduduk di birai katil sahabatnya, tangisnya teresak-esak.
Intan! kenapa Intan sembunyikan hal ini? Intan tidak perlu korbankan cinta Intan semata-mata tidak ingin melihat Sofi terluka! Zahrah menyesal, kiranya dia sempat membaca diari Intan pada hari perkahwinannya pasti Intan bahagia dengan Yusuf!
Maafkan Sofi Intan! Sofi telah merampas Yusuf darimu. Zahrah menekan-nekan kepalanya, sakitnya datang lagi.
“Masuk!” Doktor Farid menjerit dari dalam biliknya.
“Assalamualikum doktor, boleh saya berbicara sebentar?” Tanya Zahrah.
“Silakan duduk Puan Zahrah!” Jemput Doktor Farid.
“Tapi Puan, kita masih punya masa menanti penderma!” Kata Doktor Farid tegas.
“Benar kita masih punya harapan, tetapi adakah doktor boleh menjamin bahawa saya akan hidup untuk dua tiga hari lagi? Doktor sendiri memberitahu kepada saya bahawa hayat saya tidak dapat bertahan lebih lama.” Kata Zahrah.
“Benar, tapi Puan masih punya harapan untuk sembuh, jangan berputus asa!” pujuk doktor Farid lagi.
“Saya tidak dididik untuk berputus asa, dan Raudhah juga tidak dididik untuk berputus asa. Saya dapat merasakan bahawa penyakit saya tidak akan sembuh malah ia semakin teruk dari hari ke hari. Berikan Raudhah peluang untuk hidup! Lagipun seminggu lagi saya akan melahirkan anak, doktor lebih tahukan apa yang perlu dilakukan, izinkan saya hidup dalam dirinya.” Zahrah berkata tegas.
“Kita perlu lakukan ujian dahulu, adakah suami puan tahu akan hal ini?” Tanya doktor Farid lagi, Benar tekaan Zahrah, penyakitnya telah melepasi tahap kritikal, sukar untuk disembuhkan. Namun sejak setahun lalu dia melihat pesakitnya ini seorang yang kuat, walaupun tanpa kimoterapi, Zahrah masih mampu bertahan sehingga ke hari ini.
“Saya akan beritahu suami saya nanti!” Zahrah keluar dari bilik doktor Farid. Raudhah, maafkan Zahrah! ….
Yusuf kelihatan sugul di tepi tingkap hospital. Dia memandang keluar tingkap, hujan masih lagi lebat sejak petang tadi. Raudhah! Zalimkah Yusuf? Hatinya bercelaru, segeralah sembuh Raudhah! Kamu masih layak untuk meneruskan kehidupan ini, kamu akan menemui lelaki yang lebih baik dariku! Perlu ku akui, sehingga saat ini, masih ada lagi secarik rindu untukmu, namun dirimu juga mengetahui Sofiya Zahrah adalah isteriku kini.
Zahrah memandang Yusuf yang sendirian di tingkap, Abang Yusuf! Maafkan Sofi! Sesungguhnya Sofi kejam kerana menghancurkan impian abang untuk bersama dengan Intan. Benar, jika dari awal lagi Sofi mengetahui hal ini, pernikahan mereka tidak akan dilangsungkan. Adakah dia masih punya peluang untuk membetulkan keadaan?
“Abang.” Zahrah menyentuh lembut bahu suaminya.
“Sofi, adakah Raudhah masih punya harapan untuk hidup?” Tanya Yusuf tanpa memandang isterinya. Entah mengapa dia tidak sanggup kehilangan Raudhah, adakah dia masih mencintai Raudhah seperti dulu? Tidak cukupkah dalam masa setahun ini untuk dia melupakan Raudhah?
“Intan akan sembuh!” Jawab Zahrah optimis.
“Adakah telah ada jantung yang sesuai untuknya?” Yusuf berpaling.
“Insyaaallah, esok pemindahan jantung akan dijalankan. Raudhah akan sembuh seperti sedia kala.” Jawab Zahrah sambil tersenyum. Dia memandang dalam kearah suaminya. Yusuf tersenyum lantas memeluk isterinya. Raudhah akan sembuh! Itulah yang diharapkan dalam doanya. Zahrah melepaskan pelukan suaminya.
“Abang, esok juga Sofi dijangkakan bersalin, jadi Sofi nak bersalin di hospital ini.” Beritahu Zahrah. Perlukah Yusuf mengetahui hal yang sebenar, dia tidak ingin merumitkan keadaan, dia ingin redha dengan tekadnya, Raudhah perlu diselamatkan, dia juga tidak ingin Yusuf bersedih dengan keadaannya jika dia mengetahui rancangannya. Dia tidak ingin Yusuf mengetahui sebelum pembedahan bahawa penderma jantung untuk Raudhah adalah isterinya sendiri. Yusuf mengangguk-angguk.
“Abang, jika terjadi sesuatu keatas Sofi esok, mahukah abang meredhai Sofi? Meredhai segala perbuatan Sofi? Meredhai segala yang bakal terjadi esok hari? Meredhai sesuatu yang tidak mampu terluah hari ini? Mahukah abang meredhai kehidupan Sofi sebagai isteri abang selama setahun ini?” Zahrah cuba menahan air matanya dari menitis.
Yusuf memegang kedua belah bahunya lembut dan memandangnya. “Kenapa Sofi tanya soalan begitu? Insyaallah esok semuanya akan berjalan lancar, Sofi akan selamat melahirkan anak abang dan Raudhah akan selamat daripada pembedahannya dan abang akan menjadi orang yang paling bahagia sekali hari esok!” Kata Yusuf bersemangat. Zahrah kembali memeluk Yusuf.
Sofi akan membahagiakan abang sehingga akhir hayat abang, maafkan Sofi, redhalah keatas Sofi atas segala tindakan Sofi, Sofi tidak ingin membuatmu sedih! Namun sejak hari pertama pernikahan kita, Sofi telah membuat hatimu terluka dan hati sahabatnya Intan juga.
Maafkan Sofi! …. Zahrah memandang kearah Raudhah di sebelah katilnya, sebentar lagi jantungnya akan berada di dalam jasad Raudhah. Tangan Zahrah dipegang seeratnya, dia mengucup dahi dan pipi Raudhah lama, air matanya menitis.
Maafkan Sofi! Hingga ke saat ini Sofi masih tidak dapat mendengar suaramu, Intan terus diam, bukalah matamu, lihatlah wajahku untuk kali terakhir. Air matanya menitis semakin laju, ummi, baba, abang Yusuf, Intan! Maafkan Sofi salama kehidupan Sofi bersama kalian. sebentar kemudian dunia Zahrah gelap dan sunyi. ....
Yusuf masih menanti penuh debar di luar bilik persalinan, dia juga diberitahu saat-saat akhir bahawa isterinya perlu dibedah. Raudhah juga dimasukan di wad yang sama untuk dibedah juga pada masa yang sama. Yusuf dan ahli keluarga yang lain semakin risau kerana pembedahan itu mengambil masa yang lama, tidak ada tanda-tanda pembedahan kedua-duanya akan selesai. Setelah hampir lapan jam menuggu, akhirnya doktor Farid diiringi oleh seorang juru rawat keluar membawa seorang bayi.
Kepenatan menunggu di luar terus hilang saat dia memandang bayi yang berada di dalam pangkuan jururawat. Dia memangku bayi perempuannya.
“Doktor, bagaimana keadaan isteri saya?” Tanya Yusuf.
“Bagaimana pula keadaan Intan?” Tanya ibu Intan. Masing-masing menanti jawapan dari doktor yang berusia dalam lingkungan 40-an. Doktor Farid mengambil nafas dalam-dalam dan memerhatikan setiap wajah yang berdiri di hadapannya.
“Alhamdulillah, pembedahan jantung keatas Cik Raudhah Berjaya dilakukan. Keadaannya juga stabil” Doktor Farid berjeda seketika. Dia mengumpul kekuatan untuk memberitahu hal yang sebenar. Walaupun situasi ini bukan yang pertama namun hati manusianya seakan-akan tidak sanggup untuk menberitahu hal yang sebenar, dia tidak ingin berita itu nanti menghapuskan senyuman diwajah mereka.
“ Seperti yang Encik Yusuf ketahui, penyakit yang dihidapi isteri encik sejak setahun yang lalu sudah melewati tahap kritikal dan….”
Yusuf segera memotong percakapan doktor Farid.
“Apa yang doktor cakapkan ini? Isteri saya menghidap penyakit? Penyakit apa?” Doktor Farid terkejut dengan pertanyaan daripada Yusuf, dia membuat andaian bahawa pesakitnya tidak memberitahui hal yang sebenar tentang penyakitnya.
“Puan Zahrah mengidap…. Kanser otak sejak setahun lalu…” beritahu doktor Farid.
Yusuf terkasima.
“Doktor! Berterus terang kepada kami, bagaimana keadaan anak perempuan saya?” Tanya baba Zahrah yang sedari tadi diam memerhatikan perbualan doktor dengan Yusuf.
“Encik, maafkan kami…kami telah mencuba sedaya upaya, Allah lebih menyayangi Puan Zahrah.” Beritahu doktor Farid dengan perasaan yang berat. Sebentar kemudian dia berlalu pergi. Kaki yusuf terasa longlai, akhirnya dia terduduk, dia memerhatikan anak perempuan yang berada dalam pelukannya. Sofi! Dia teringat perbualan mereka semalam.
“Abang, jika terjadi sesuatu keatas Sofi esok, mahukah abang meredhai Sofi? Meredhai segala perbuatan Sofi? Meredhai segala yang bakal terjadi esok hari? Meredhai sesuatu yang tidak mampu terluah hari ini? Mahukah abang meredhai kehidupan Sofi sebagai isteri abang selama setahun ini?”
Sofi! Kenapa sakitmu tidak diberitahu, aku suamimu! Sofi…maafkan abang. Yusuf merasakan dunianya gelap tanpa lagi cahaya.
Sofi! Seperti pintamu, aku meredhai selama hidupmu sebagai isteriku. ….
Yusuf membuka pintu kamarnya, sunyi. Rindunya menggamit kembali terhadap Sofi! Aku juga mencintaimu, bekas tanah masih melekat diseluarnya usai majlis pengebumian petang tadi. Yusuf memnghampiri meja solek dan memandang gambar perkahwinan mereka. Terdapat dua sampul surat diatas meja tersebut. Satu untuk dirinya, satu untuk Raudhah. Adakah Sofi tahu bahawa ajalnya sudah tiba? Yusuf mengumpul kekuatan untuk membaca isi kandungan surat itu.
Assalamaualaikum, Abang, Terima kasih kerana sudi menjadi suami yang baik untuk Sofi. Terima kasih kerana mencintai Sofi. Disaat Sofi sah menjadi isteri abang, Sofi berjanji untuk mencintai abang dengan seikhlas hati, menjadi isteri yang solehah, isteri yang menjadi penyejuk mata, penenang jiwa si suami walau apapun ketikanya.
Namun… Maafkan Sofi, Sofi telah mencalarkan hatimu pada hari itu juga. Abang, kenapa diterima pernikahan ini jika hati dan cinta abang untuk orang lain? Mengapa masih mengaku cinta terhadap isterimu sedangkan hatimu tidak begitu. Mengapa perlu menipu hatimu demi kebahagiaan diriku.
Adalah kesilapan besar saat kita dinikahkan! Sofi tidak dapat membayangkan perasaan Intan yang berada disebelah Sofi melihat cincin perkahwinan lelaki yang disanjunginya disarungkan dijari manis sahabat baiknya.
Sofi telah mengetahui tentang kisah kalian, namun ia sudah terlewat. Saat Sofi mengetahuinya Intan sedang terbaring lesu di katilnya dan Sofi dalam keadaan bahagia menanti saat kelahiran bayi kita. Betapa zalimnya Sofi menjadi penghalang cinta kalian demi kebahagian Sofi sendiri.
Sekarang Sofi sedar mengapa Intan semakin menjauhkan diri dari Sofi. Mana mungkin hati perempuannya tega untuk bertemu dengan abang yang sentiasa bersama dengan Sofi, hatinya tidak akan mampu untuk melihat lelaki yang dipujanya berjalan seiringan dengan sahabat baiknya. Sesungguhnya Sofi telah melakukan kesalahan yang besar terhadap kalian.
Abang, Maafkan Sofi, saat abang membaca surat ini, barangkali Sofi sudah tiada di dunia ini, jika masih adapun Sofi tidak akan membiarkan abang menghalang rancangan Sofi. Fahamilah hati Sofi, bukan niat Sofi untuk menderhakai, bukan jua niat membelakangi tentang penyakit Sofi, ketahuilah Sofi tidak ingin membebankan abang dengan penyakit Sofi, maafkan Sofi.
Maafkan Sofi kerana tidak memberitahu abang bahawa penderma jantung kepada Intan adalah… Sofi, isteri abang!. Cukuplah Sofi menjadi penghalang keatas cinta kalian, cukuplah Sofi melukai hati Raudhah. Redhalah kehidupan Sofi sebagai isteri abang.
Apabila anak kita dilahirkan, berikan dia nama ‘Raudhah’ dan nikahilah Intan! Sesungguhnya Sofi mencintai abang saat hari pertama Sofi menjadi isteri abang. Andai dirimu sudi, terimalah aku menjadi bidadarimu di syurga. Izinkanlah aku menemanimu di sana untuk selama-lamanya. Salam sayang, SOFIYA ZAHRAH.
Yusuf memandang dirinya dari dalam cermin. Yusuf! Layakkah kamu menerima pengorbanan sebesar ini? Matanya berkaca, Allah! Ampunkan hambamu kerana hanya memikirkan tentang perasaanku, kerjaku sehingga aku leka, sehingga aku mengabaikan tanggungjawabku terhadap isteriku. Sehingga aku tidak mengendahkan sakit kepala isteriku yang hatiku menyangka ia hanya pembawakan budak, sehingga aku buta untuk melihat dengan teliti botol-botol ubat isterinya. Maafkan Yusuf Sofi! Maafkan Yusuf! Abang tidak layak untuk semua ini. ….
Sudah hampir seminggu Raudhah sedar namun perihal pemergian Zahrah masih belum diketahuinya. Doktor melarang diceritakan hal yang sebenar, khuatir dia tidak dapat menerima kenyataan dan ia akan menjejaskan jantung barunya.
“Ibu, Dimana Sofi? Sudah seminggu Intan sedar, tapi Sofi tidak juga datang menjenguknya.” Tanya Raudhah dengan suaranya yang perlahan. Dia tidak dibenarkan bercakap banyak.
“Sofi ada datang jenguk Intan, tapi ketika itu Intan sedang tidur.” Jawab ibunya pendek. Dia beristighfar dalam hati. Entah yang kali keberapa dia menipu anak gadisnya.
“Kenapa tidak dikejutkan Intan? Intan rindu untuk bertemu dengan Sofi, Intan hendak minta maaf kerana menjauhkan diri darinya tempoh hari.” Matanya bergenang air mata.
“Intan jangan nangis, nanti ibu beritahu Sofi suruh datang melawat Intan lagi.” Pujuk seorang ibu. Intan kembali menutup matanya. Dia tidak menyangka sehingga ke hari ini dia masih bernyawa. Dia ingin sekali mengetahui jantung siapa yang berada di dalam dadanya.
“Ibu siapakah yang mendermakan jantung kepada Intan?” Intan kembali membuka matanya. Ibunya kelu, siapakah penderma jantung kepada anaknya? ….
Setelah hampir sebulan lebih di tahan di wad, Raudhah dibenarkan pulang.
“Ibu, boleh hulurkan telefon Intan? Intan mahu menghubungi Sofiya.” Pinta Raudhah. Ibunya kaget.
“Intan, doktor cakap Intan masih perlu banyak berehat, jangan fikirkan hal-hal lain” Kata ibunya yang sedang mengemas pakaiannya dengan anak bongsunya.
“Ibu, kenapa semua orang seakan-akan merahsiakan sesuatu dari Intan? Setiap kali Intan tanya tentang hal Sofiya, berbagai alasan diberikan, dimana Sofiya Ibu? Adakah sesuatu terjadi kepadanya? Kenapa Sofi tidak datang menjenguk Intan selama Intan disini? Sofi bukan orang begitu!” Ibunya tahu soalan begitu pasti akan hadir. Adakah ini masa yang sesuai untuk memceritakan hal yang sebenar? Ibunya memandang kearah anak bongsunya.
“Intan ,mari kita pulang.” Pujuk Ibunya.
“Intan tidak mahu pulang selagi Intan tidak dapat mendengar suara Sofi!” Intan berkeras, ibunya bungkam. ….
Intan terus menangis dalam perjalannya. Kereta yang dipandu ayahnya meluncur laju menuju ke tanah perkuburan.
Sofi! Maafkan Intan! Sofi tanggung derita itu seorang diri, kenapa tidak dikongsi dengan Intan? Kita sudah berkawan sudah lama, mengapa masih ingin berahsia? Intan kembali kecewa, maafkan Intan! Intan juga berahsia denganmu, namun ia demi kebahgiaanmu.
Maafkan Intan kerana tidak mempedulikan panggilanmu. Maafkan Intan! Intan dipapah oleh Ibu dan adiknya menuju ke pusara Zahrah, kakinya masih tidak kuat untuk berdiri sendiri. Kelihatan seorang lelaki sedang berdoa di pusara Zahrah. Raudhah menghampiri.
“Yusuf!” Panggilnya lemah, air matanya terus menitis, suaranya juga semkin tersekat- sekat. Yusuf berpaling namun tidak berkata sepatah pun. Yusuf bangkit memberi laluan kepada Raudhah dan bersalaman dengan ayah Intan.
“Maafkan Intan Yusuf!” Kata Intan sambil matanya memandang batu nisan Zahrah. Yusuf tidak menjawab sebaliknya dia menuju ke keretanya.
“Sofi! Maafkan Intan!” Hanya itu yang terucap dari bibirnya. Air-matanya masih menitis laju, sesungguhnya dia redho dengan pemergian Sofiya. Yusuf datang membawa surat yang ditulis Zahrah kepada Raudhah dan menghulurkannya kepada Intan, mulutnya masih terkunci untuk menuturkan kata kepada Raudhah. Dia meminta diri untuk pulang. Intan menatap sampul surat yang diterimanya. Adakah in bicaramu Sofiya?
Assalamualaikum Intan, sahabatku, Intan, tiada satu katapun dapat menggambarkan kecintaanku terhadapmu, betapa Sifat RahmanNya dititipkan ke dalam hatiku untuk turut sama mengasihimu. Dari bangku sekolah kita bersahabat, sehingga kini kita tetap jua bersahabat.
Intan, sesungguhnya Sofi yang perlu berkorban untukmu bukan dirimu. Sofi tidak berhak diatas pengorban itu. Usah disembunyikn lagi perasaanmu terhadap abang Yusuf! Bukan amarah dariku namun rasa bersalah yang teramat menyelubungi segenap hatiku tatkala Sofi menyedari bahawa Sofi adalah perampas kebahagiaanmu, impianmu untuk bersama abang Yusuf.
Adakah tangisan Intan dihari bahagia Sofi setahun yang lalu, tangisan luka? Tidak! Maafkan Sofi! Sofi telah berlaku zalim terhadap Intan dan abang Yusuf. Mafkan Sofi kerana terlewat mengetahui semua ini. Hingga saat ini Sofi mengetahui mengapa Intan menjauhkan diri dari Sofi. Hati Sofi luluh melihat Intan terbaring lesu di atas katil. Sofi menemani Intan, berbicara dengan Intan namun Intan terus diam dan Sofi tidak mahu Intan terus diam.
Maafkan Sofi kerana tidak dapat menemani Intan untuk berbicara lebih lama. Bukan Sofi tidak mahu, namun Sofi semakin lemah, juga semakin tidak mampu untuk melihatmu terus terbaring di katil. Sofi ingin melihat Intan kembali senyum seperti dulu. Namun Sofi tidak dapat lagi menatap lagi senyuman Intan.
Maafkan Intan, hanya ini yang termampu Intan korbankan demi persahabatan kita. Maafkan Intan kerana telah melukai hatimu, BUKAN NIATKU!
Intan, kita pasti kembali bersatu, kematian bukan pengakhiran kepada persahabatan kita. Sofi akan sentiasa hidup dalam diri Intan. Jantung Sofi adalah bukti kasih sayang Sofi terhadap Intan. Andai Sofi tidak menghidap penyakit pun, Sofi akan berkorban untuk Intan.
Jagalah abang Yusuf. Maafkan Sofi selama hidup dalam persahabatan kita. Salam rindu, SOFIYA ZAHRAH.
“Ibu!” Jerit Raudhah. Ibunya menghampiri dan memeluk anaknya. “Ibu! Jantung Sofi ada dalam Jasad Intan!” Hatinya terus menangis, Sofi! Mulianya dirimu mengorbakan nyawamu demi memberiku kehidupan yang baru!ALLAHUAKBAR! ….
Yusuf menatap pusara dihadapannya. Beginilah kiranya takdir antara mereka. Takdir cinta antara dua sahabat. Persahabatan yang memperlihatkan pengorbanan hati dan jiwa antara mereka. Adakah mampu ditemui persahabatan sebegini?
Sudah hampir dua tahun pemergian Raudhah, kekasih hatinya saat dia bertarung nyawa dengan Izrael melahirkan zuriatnya. Allah itu maha Pemurah. Dia mengurniakan keatasnya dua srikandi yang membahagiakan segenap hatinya.
Sofiya, cintamu bak kuntum mawar yang mewangi di taman, sesungguhnya engkau memberi lebih daripada aku pinta.
Raudhah, janjiku kabulkan demi janjiku kepada Sofiya, Cintamu tidak juga padam walaupun aku dahulu pernah menjadi suami orang. Tidak juga kau simpan dendam bahkan hatimu masih terbuka unutk menerimaku kerana amanahmu daripada seorang kawan. Perlukah aku menerima lebih dari itu? sesungguhnya Allah telah melimpahkan kurniannya terlalu banyak untukku.
“Zahrah, Raudhah! Mari kita pulang sayang.” Panggil Yusuf kepada anaknya yang leka mencabut rumput di pusara ibu-ibu mereka.
Mereka amanah dari kalian, akan aku jaga mereka, akan aku didik mereka menyemai kasih dan cinta sebagai sahabat seperti cinta kalian berdua.
Berbahagialah kalian di syurga, aku akan mencari kalian di sana, menjadi bidadari syurgaku. Cintaku pada kalian tidak akan pudar, rindu kalian akan terus bersemadi di hati. Setitis air mata mengiringi doanya petang itu.
*Glosari:
Husnuzon = Bersangka baik
Metafora = Kiasan
Esensi = Unsur
assalamualaikum...
ReplyDeletenice story..
suke sangat..sgt menyentuh perasaan..
terima kasih sent kt emel akak..
boleh plak letak citer2 pnjg camni lam blog..pnat nak membacanye..nsb bek da abes baca..hehe
ReplyDeletewa'alaikumussalam..
ReplyDeletehehe..same2 akak!!
thanx for viewing!!