Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh~
:)
as promised.. here we go..
Feel free to share this but please give credit to those highlighted names below, okay~ ^^
Jazakallahu khairan kathira!
600 JAWAPAN KEMUSYKILAN AGAMA (Jilid 2)
Oleh:
Allahyarham Dato' Haji Ishak Baharom
Ustaz Haji Ismail Kamus
Ustaz Ahmad Baei Jaafar
Ustaz Jaafar Salleh
Ustazah Fatimah Omar
Selenggaraan:
H.M. Tuah Iskandar
BAHAGIAN 1
1. INGIN BERSAMA KEKASIH DI AKHIRAT
S Saya pernah menjalin hubungan cinta dengan seorang pemuda selama empat tahun. Tetapi hubungan ini ditentang oleh keluarga saya. Takdir Tuhan, kekasih saya telah meninggal dunia setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya. Hingga kini saya masih bersedih dan sentiasa mengingati dirinya. Setiap kali selepas menunaikan sembahyang, saya berdoa supaya kami dipertemukan dan hajat kami untuk menjadi suami isteri dapat dilaksanakan di Akhirat kelak. Apakah doa seperti ini diterima oleh Allah S.W.T.?
J Memang banyak keterangan bahawa di Akhirat, khususnya di dalam Syurga nanti berlaku perkahwinan di antara lelaki dengan wanita. Terdapat juga keterangan bahawa isteri-isteri bagi seseorang lelaki itu terdiri daripada para wanita Akhirat (bidadari) dan juga wanita dunia yang solehah.
Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Asakir daripada Hatib bin Abi Balta'ah, Rasulullah s.a.w., bersabda; "Di dalam Syurga seorang Mukmin itu akan berkahwin dengan 72 orang isteri. 70 daripadanya wanita Akhirat (bidadari) dan 2 daripadanya ialah wanita dunia."
Para penafsir hadis ada yang menjelaskan bahawa dua wanita dunia itu mungkin isterinya yang baik yang sama-sama masuk ke dalam Syurga dan ada pula yang mengatakan wanita dunia itu ialah wanita yang solehah di dunia akan berkahwin dengan lelaki soleh mungkin asalnya suami isteri kalau sama-sama masuk Syurga dan mungkin bukan asalnya suami isteri.
Sekiranya salah seorang daripada suami atau isteri tidak berpeluang masuk Syurga, maka masing-masing berkahwin dengan yang terpilih masuk Syurga, yang semasa di dunia mereka tidak pernah berkahwin tetapi dapat berkahwin di Akhirat kerana sama-sama soleh dan banyak pahala.
Tentang pasangan di Syurga disebut oleh Imam Tarmidzi melalui hadis yang diriwayatkan melalui Laqit bahawa di Akhirat nanti seseorang itu akan berkahwin dengan wanita-wanita suci, dan perempuan yang solehah (baik) akan berkahwin dengan lelaki yang soleh (baik) demikian sebaliknya. Masing-masing dapat menikmati persetubuhan yang dirasakan di dunia tanpa melahirkan anak.
Banyak sekali keterangan hadis yang menjelaskan bahawa seseorang lelaki itu akan berkahwin dengan ramai isteri. Ada yang menyebut berjumlah 4,000 orang pelayan (boleh disetubuhi) ada yang menyebut 8,000 malah ada yang menyebut 80,000 mengikut taraf iman dan ketaqwaan seseorang. Kesemua isteri itu dapat disetubuhi dalam masa 7 hari.
Seorang sahabat Rasulullah s.a.w. apabila mendengar Rasulullah s.a.w. memberitahu tentang seseorang lelaki akan beristeri dengan begitu ramai bidadari di Syurga, lalu dia pun bertanya apakah mampu melakukan persetubuhan? Nabi s.a.w. menjawab; "Sesungguhnya di Akhirat (di dalam Syurga) seseorang lelaki Mukmin itu diberi (dilipatgandakan) kekuatan sebanyak 100 kali ganda dalam melaksanakan persetubuhan." ( riwayat At-Tabrani, Al-Baihaqi dan Abu Ya'la).
Menyentuh tentang soalan anda, daripada keterangan-keterangan hadis yang dikemukakan, bahawa kemungkinan di antara orang yang tidak dapat atau tidak pernah berkahwin di dunia akan dikahwinkan juga di Akhirat sekiranya mereka sama-sama menjadi orang yang taat kepada Allah S.W.T., tidak melakukan maksiat dan bayak bertaubat sewaktu di dunia.
Tentang doa meminta untuk dipertemukan jodoh di Akhirat dengan orang tertentu yang kita pilih di dunia sama ada dia belum mati atau telah mati, perbuatan itu adalah harus. Tentang dimakbulkan oleh Allah atau tidak itu adalah urusan Allah S.W.T. Kalau Allah takdirkan berhasil, maka kemungkinan akan dapat berkahwin dengan orang yang dimaksudkan itu, mungkin Allah S.W.T. akan gantikan dengan yang lebih baik.
Ustazah Fatimah Omar
HURAIAN
Sungguhpun begitu, janganlah orang yang masih hidup tidak mahu berkahwin pula. Kahwinlah dahulu di dunia, di Akhirat adalah soal lain.
;)
|
Sumber Gambar: isuhangat.blogspot.com |
Ditaip semula ke blog oleh:
Aini Syahirah Abd Ghani